Not Modify --> Mat Yo Berhijrah Ke Terengganu - Daily Sukan

perkembangan sukan di Malaysia

Dikuasakan oleh Blogger.

Mat Yo Berhijrah Ke Terengganu



Skuad Terengganu dijangka bertambah mantap dalam saingan Liga Super berikutan keputusan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha, mengikat kontrak bersama skuad berkenaan hari ini.

Majlis menandatangani kontrak antara Norshahrul yang lebih mesra dengan panggilan Mat Yo dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diadakan di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu mengikat kontrak selama setahun bersama PBSNT.

Pengurus pasukan Terengganu Marzuki Sulong berkata hasrat PBSNT untuk membawa pulang Mat Yo ke pasukan berkenaan bermula sejak tahun lepas, namun tidak menjadi kenyataan berikutan pelbagai kekangan.

"Alhamdulillah, hari ini semuanya menjadi kenyataan dan saya bersyukur kerana anak-anak Terengganu telah pulang membantu negeri ini.

"Dengan adanya pemain ini (Mat Yo), ia akan memberi satu lonjakan atau menambah lagi 'sengat' pada barisan serangan Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, yang turut dihadiri Setiausaha PBSNT Arpin Draman dan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim.

Justeru, Marzuki yang juga Timbalan Presiden PBSNT berkata Mat Yo dijangka membuat penampilan sulung bersama Terengganu apabila skuad Penyu itu berdepan  Felda United di laman sendiri pada 18 April ini.

"Dalam tempoh seminggu ini, beliau mungkin sibuk dengan urusan perpindahan dan perkara lain," katanya.

Sementara itu, Mat Yo berkata kali terakhir beliau menyarung jersi pasukan Terengganu ialah pada usia 12 tahun, ketika mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST).

Beliau berkata kepulangannya ke Terengganu, adalah disebabkan hal peribadi dan tiada kena-mengena dengan ketidakserasian atau perkara lain dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Jurulatih ATM melepaskan saya dengan cara baik dan saya tidak ada sebarang masalah," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa tidak akan berdepan masalah besar bagi membentuk keserasian bersama pasukan Terengganu kerana ramai dalam kalangan mereka adalah rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan.

Untuk rekod, Mat Yo memulakan kareer dalam liga bola sepak tempatan bersama pasukan Perak dari 2003 hingga 2005, diikuti Negeri Sembilan (2006-2007), UPB-MyTeam FC (2007-2009), Kelantan (2010-2012), JDT (2013-2014) dan ATM (2015).
0 Komentar untuk "Mat Yo Berhijrah Ke Terengganu "

Back To Top