Not Modify --> Ricardo Quaresma Muncul Wira Portugal Layak Ke Separuh Akhir - Daily Sukan

perkembangan sukan di Malaysia

Dikuasakan oleh Blogger.

Ricardo Quaresma Muncul Wira Portugal Layak Ke Separuh Akhir




PORTUGAL 1 POLAND 1
(Portugal menang penentuan sepakan penalti 5-3)

Ricardo Quaresma muncul wira Portugal buat kali kedua berturut-turut apabila merembat masuk sepakan penalti penentuan bagi keputusan 5-3 untuk membawa pasukannya mara ke separuh akhir Euro 2016, awal pagi tadi.

Quaresma memanfaatkan kegagalan pengambil sepakan keempat Poland, Jakub Blaszczykowski, yang berjaya ditepis Rui Patricio selepas 90 minit masa sebenar perlawanan di Stade Velodrome berakhir dengan keputusan seri 1-1. 

Ia mungkin cerita berbeza buat Poland andai mereka berjaya mempertahankan gol seawal minit kedua yang diledak Robert Lewandowski. 

Portugal,bagaimanapun, bangkit mengikat kedudukan menerusi bintang baru berusia 18 tahun, Renato Sanches, ketika permainan berusia 33 minit, sekali gus menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati. 

Kedua-dua pasukan mengharungi 120 minit permainan di peringkat terdahulu, namun Poland tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan apabila bermula dengan corak agresif sebaik sepak mula. 

Cedric gagal membaca bola yang dilorongkan kepada Kamil Grosicki sebelum mengumpan di depan gol untuk disudahkan Lewandowski dengan kaki kanannya.

Cristiano Ronaldo dan Nani tidak diberi banyak ruang di awal permainan oleh pertahanan Poland. 

Namun, sebaik Portugal menguasai bahagian tengah, mereka mula memberi masalah kepada lawan dan rayuan penalti mereka tidak diendahkan pengadil sekalipun Michal Pazdan jelas menolak Ronaldo dari belakang. 

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk kembali memimpin perlawanan. Raut kecewa Ronaldo jelas terpapar apabila dia melepaskan dua peluang keemasan di dalam kotak penalti. 

Selepas sekadar merembat bola ke tepi gawang, Ronaldo terus tumpul apabila tendangannya tidak mengenai sasaran tatkala dia bijak melepasi ofsaid untuk dia hanya berdepan dengan penjaga gol, Lukas Fabianski

Di penghujungnya, Poland tersentak apabila Artur Jedrzejczyk hampir tertolak bola ke gawang sendiri gara-gara cuba menghalang hantaran Pepe. 

Kerancakan pada awal masa tambahan terencat gara-gara penceroboh yang memasuki padang dan kedua-dua pasukan terus buntu menambah gol untuk perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
0 Komentar untuk " Ricardo Quaresma Muncul Wira Portugal Layak Ke Separuh Akhir"

Back To Top