Not Modify --> Malaysia Ke Suku Akhir Piala Sudirman 2015 - Daily Sukan

perkembangan sukan di Malaysia

Dikuasakan oleh Blogger.

Malaysia Ke Suku Akhir Piala Sudirman 2015



BEREGU campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying sekali lagi menjadi penyelamat kepada skuad negara apabila melengkapkan mata kemenangan 3-2 ke atas India pada saingan Kumpulan 1D Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2015 di Dongguan, China.

    
Dengan kemenangan semalam, Malaysia yang telah melengkapkan perlawanan dalam kumpulan mengungguli kumpulan 1D manakala penentuan pasukan mana akan bersama skuad negara ke pusingan suku akhir akan diketahui selepas pertemuan Korea Selatan dengan India, esok.
    
Pasangan 'hero' negara itu meraih mata kemenangan selepas menundukkan gandingan Sikki Reddy N/Arun Vishnu 21-14 dan 21-18 dalam tempoh 40 minit.
    
Gandingan Peng Soon/Liu Ying yang bermula kurang agresif bagaimanapun bangkit semula selepas pasangan India berjaya merapatkan jurang mata pada kedudukan 14-10, menutup kesilapan untuk menang set pertama 21-14.
    
Pada set kedua yang menjadi set penentuan, pasangan negara seperti hilang tumpuan apabila membenarkan Sikki/Arun mengikat mereka pada kedudukan pada 17-17, sebelum kembali mendapat rentak untuk menamatkan permainan dengan 21-18.
    
Terdahulu, mata pertama negara diperoleh menerusi beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang meneruskan aksi cemerlang menundukkan Manu Attri/Sumeeth Reddy B 21-15 dan 21-16.
    
Dalam perlawanan yang berlangsung 33 minit itu, V Shem/Wee Kiong yang lebih berhati-hati melakukan hantaran mengutip mata mudah untuk menyumbang mata semangat kepada skuad badminton negara.
    
Datuk Lee Chong Wei sekali lagi membuktikan beliau sukar ditandingi apabila menewaskan pemain perseorangan lelaki yang berada di ranking keempat dunia K. Srikanth untuk meletakkan Malaysia kembali di hadapan 2-1 selepas Perseorangan wanita Tee Jing Yi gagal menyumbang mata.
    
Chong Wei mengambil masa 40 minit sebelum berjaya menjinakkan Srikanth 21-16 dan 21-15.
    
Perseorangan wanita, Jing Yi yang tidak diturunkan pada perlawanan menentang Korea Selatan semalam, menunjukkan prestasi luar biasa apabila hampir menewaskan pemain nombor dua dunia Saina Nehwal pada set pertama namun terpaksa tunduk 22-24.
    
Tampil di set kedua selepas ketinggalan 6-12, Jing Yi yang cuba bangkit tetapi gagal mengekalkan rentak konsisten dan membuat satu demi satu kesilapan kecil membolehkan pemain perseorangan wanita India itu menamatkan set kedua pada 21-13 dan menyamakan kedudukan 1-1.
    
Turut gagal menyumbang mata, pasangan wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei yang tewas kepada pasangan Jwala Gutta/Ashwini Ponnappa 18-21, 21-19 dan 15-21.
    
Vivian/Khe Wei yang tewas pada set pertama, bangkit pada kedudukan 13-13 di set kedua untuk memungut mata demi mata sebelum menang 21-19 pada set kedua.     

Beregu emas Sukan Komanwel 2014 yang mendahului set ketiga pada kedudukan 10-7, bagaimanapun gagal mengekalkan rentak konsisten sekaligus membolehkan pasangan India mengutip mata demi mata untuk melengkapkan kemenangan 21-15.
   

0 Komentar untuk "Malaysia Ke Suku Akhir Piala Sudirman 2015"

Back To Top