Pelari dari Perlis itu mencatat masa 21.40 saat bagi memenangi pingat emas manakala pingat perak milik atlet Terengganu, Harith Amar Md. Sobri dengan masa 21.59s dan gangsa milik Badrul Hisham Manap dari Melaka dengan catatan 21.74s.
Lebih manis catatan masa dilakukan Mohd. Izzudin itu membolehkannya beraksi dalam acara 200m Sukan SEA 2015 selepas mengatasi had kelayakan 21.46s.
Ketika ini Mohd. Izzudin sudah pun menempah slot beraksi dalam temasya di Singapura Jun ini dalam acara 100m.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata dengan kelayakan atlet berusia 29 tahun ini berbekal catatan peribadi terbaik 10.48s dalam acara 100m pada Kejohanan Terbuka Terengganu, baru-baru ini, jumlah atlet olahraga yang layak secara merit ialah 16 atlet setakat ini.
Katanya, misi utamanya kini adalah untuk mendapatkan pingat emas 100m dan 200m dalam Sukan SEA 2015 di Singapura.
“Saya mahu ikut jejak jurulatih saya Nazmizan Muhammad yang pernah cemerlang dalam Sukan SEA.
“Saya yakin untuk membawa pulang pingat emas dalam acara pecut kerana itu bukan sesuatu yang mustahil, dan dalam masa sama saya bersyukur dengan prestasi konsisten ketika ini,” katanya selepas tamat perlumbaan akhir 200m lelaki di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.